Filem: Ola Bola Pengarah: Chiu Keng Guan |
Aku terpanggil untuk membuat review sebuah filem. Bukan kerana mengejar "siapa cepat", tetapi cuba mengekspresi kekaguman melalui penulisan.
Seperti mana sedia maklum pengarah Chiu pernah menggemparkan industri perfileman dengan buah tangan beliau sebelum ini iaitu The Journey. Sekali lagi beliau tampil dengan idea yang pada aku sangat gila! Ya GILA! Sebelum aku pergi lebih jauh. Elok kiranya diceritakan serba sedikit sinopsis Ola Bola.
Cerita yang berkisarkan melalui "pengembaraan" seorang wartawan yang sudah "give up" dan mengambil keputusan untuk berhijrah ke England. Sebelum berhijrah, Marianne ingin menyiapkan tugasan terakhir beliau di sini. Akan tetapi tugasan "terakhir" ini mengubah segalanya. Aku tidak bercadang untuk bercerita panjang mengenai sinopsis ini takut-takut akan menjadi spoiler dan kurang menyengat kepada yang belum menonton.
Baiklah. Aku berani untuk memberikan pujian yang melambung-lambung kepada filem ini. Bukan kerana ia sebuah filem bola & adaptasi daripada kisah benar. Tetapi pujian ini lebih kepada nilai dan moral yang ditunjukkan. Pengarah bijak bermain dengan plot dan suasana serta skor muzik yang pada aku amat cantik dan tersusun mengikut suasana dan latar. Sekali lagi Chiu menonjolkan "killer pass" beliau iaitu pemilihan lokasi, view dan sebagainya yang pernah dilakukan dalam filem The Journey. Sangat mengagumkan!
Selain itu, satu benda paling aku suka dalam cerita ni adalah filem yang menyatukan semua bangsa Malaysia. Plot yang mudah melalui karakter yang berbeza, bangsa yang berlainan dan yang penting, jiwa yang sama, iaitu "passion" terhadap bola sepak dan juga maruah Tanah Air! Setiap babak penting mampu menyentuh hati dan perasaan aku! Aku tidak ralat untuk menyatakan filem ini lebih patriotik berbanding filem-filem bertema patriotik yang pernah dihasilkan sebelum ini.
Tambahan lagi, unsur humor juga diselitkan yang aku rasa agak banyak tapi tidak keterlaluan. Humor yang simple dan mampu buat penonton gelak bersulam perasaan semangat serta sedih. Ya! Filem ini ada jiwa. Dengan komentator daripada Rahman serta karakter Cai yang sering diperlekehkan mampu buatkan filem ini dalam mode jenaka.
Cuma pada pandangan peribadi aku, ada baiknya ditunjukkan pada akhir filem ini setiap watak itu siapa yang mereka wakili berbanding gambar-gambar "original" lepas. Ataupun tunjukkan gol-gol melalui perbandingan dua video iaitu daripada filem dan juga daripada kisah asal. Itu lebih bermakna dan menyentuh jiwa sekali gus sebagai penutup sebuah era Bola Sepak Malaysia yang pernah gemilang suatu ketika dahulu.
Aku juga cadangkan semua orang tak kira anda peminat bola sepak atau tidak. Hal ini kerana filem Ola Bola bukan memfokuskan kepada bola sepak sahaja, banyak nilai yang diperolehi melaluinya! Dan aku juga cadangkan kepada pemain bola sepak profesional terutama pemain Harimau Malaya, tonton lah filem ini sebagai sumber inspirasi atau "trigger point". Mereka berjuang secara "tulen"! Bermain bola sepak disamping menjalankan tugasan untuk majikan, menyara keluarga dan sebagainya, kerana mereka tahu, bola sepak mampu mengubah hidup mereka. Ya! kini bola sepak mampu mengubah hidup individu dan keluarga! Namun sejauh mana bola sepak Malaysia era kini mampu menyamai semangat juang skuad 1980 apabila diberi tanggungjawab menyarung jersi kebangsaan? Aku tinggalkan pertanyaan itu untuk difikirkan kerana aku percaya semua peminat Harimau Malaya termasuk diri aku sendiri....."you will believe AGAIN".
Akhir sekali, satu perasaan yang aku sendiri tak dapat gambarkan bila mana sebaik tamat Ola Bola, penonton kebanyakannya bertepuk tangan. Pada penilaian aku, mereka cukup bangga dengan filem ini! *perasaan sebak bercampur gembira kerana berada dalam situasi begitu.
P/S: kepada yang ada jersi Harimau Malaya, pakailah dan pergilah tengok filem ini, anda akan dapat satu perasaan yang tak terungkap bila mana anda keluar daripada pawagam selepas menonton filem OLA BOLA
Rating: 4.8/5
0 comments:
Post a Comment