Fellow Friends

27 August 2018

Kembara

Secangkir kopi berasap di atas meja, dibiarkan begitu sahaja.
Aromanya cukup membuatkan naluri jiwa digoncang, sehingga aku lemas dalam bayang,
Bayangan kisah silam, bayangan tentang sebuah perjalanan, perihal pengembaraan.

Kembara.

Seteguk dihirup, terpancar jelas rakaman kisah lalu.
Perjalanan anak muda, mencari di mana ada, ke mana nak di tuju.
Akan sebuah kehidupan yang masih menanti-nanti,
Selepas ini apakah lagi dan lagi.

Helaian kertas dicapai, pena diambil, jari mula menggerakkan langkah
Nukilkan tentang perjalanan yang masih tertanya akan kesudahan.
Setiap cerita punya kisah, setiap jalan punya halangan
Tetap di redah dalam jiwa penuh pasrah.

Kembara bermula

Perihal pengalaman lampau, kembali menyapa fikiran,
Sambil putaran Bila Rindu dimainkan, syahdu turut menyapa
Perihal anak muda dalam perjalanan mencari sebuah azimat
yang dinamakan cinta.

Ya, kembara mencari cinta.

Ada apa dengan cinta? jika hati tidak mampu untuk diduga.
Usah bicara soal cinta, andai jiwa tidak cukup kental untuk menghadapinya.

Anak muda mula mengenal cinta di fasa usia belasan
Hanya mengerti cinta cuma biasan
Kepada keinginan terhadap insan
Yang berbeza peran namun saling melengkapkan.

Oh begitu dangkal anak muda
Mengenal cinta hanya dalam ruang lingkup itu
Definisi dangkal cukup tepat, padat juga tidak sihat.

Cinta belasan itu membawa kepada hampir sedekad
Rezeki Tuhan, tidak diizinkan untuk jejak sampai ke akad.
Bicara anak muda, soalnya mudah "kenapa aku Tuhan?"
Jiwanya gelora semacam tiada isyarat henti ombak memukul pantai.

Akur, terus kembara lagi.

Di satu sudut kehidupan, anak muda menjadi sang jejaka
Dalam kesedihan dalam kepiluan digagahkan kaki untuk terus kembara.
Masih mencari cinta? Ya
Cinta yang bagaimana? Cinta hakiki buat diri agar terus bersemi di hati.

Langkah diatur, membawa secebis pengalaman, selebihnya kesakitan
Untuk melangkah sudah cukup kuat, sudah cukup hebat.
Bukti kepada diri, aku masih lagi mampu berdiri.

Sang jejaka melewati hari, meneruskan misi.
Bertemu gadis kayangan, munculnya tiada arah, mata juga tidak pernah bertentang.
Termakan kata-kata sendiri sang jejaka. Cinta berputik sekelip mata.
Begitulah hebatnya kuasa cinta. Menggegar sanubari tanpa sendiri mengarahkannya.

Jalanan tak selamanya indah

Sang jejaka akur, perginya gadis kayangan yang dipuja yang didewa
Kerna tak semuanya di dalam perancangan insan
Ilahi memberi pesan
Hey manusia, tak selamanya kamu senang, hidup ini penuh dengan ujian

Melangkah lagi sang jejaka meneruskan kembara

Hampir sampai ke destinasi seterusnya, bukan destinasi cinta
Saat tidak diduga malah tidak dibuka akan pintu hati
Dek kerana seriknya diri terasa hati terus dizalimi jika diberi ruang kepada insan untuk diisi
Kuasa Tuhan, ditakdirkan dalam merpati singgah kaki
Muncul sang  merak menyapa diri
Namun, masih menjadi persoalan. Merak ini merak kayangan atau sekadar mencari persinggahan

Tertanya ruang yang diberi telah diisi dengan cukup murni
Sang jejaka kembali menemui akan kehidupan
Tentang makna sebenar sebuah percintaan

Disangka panas sampai ke petang
Hujan yang turun di tengah hari
Disangka indah jalannya tanpa penghalang
Muncul si dia inginkan semula bekas kekasih hati

Pancaroba dan onak duri dilalui
Masih terkesan masih terkilan
Akan sebuah perpisahan tanpa kerelaan
Terpaksa diturutkan demi menjaga sebuah kehormatan
Demi sebuah restu demi sebuah hubungan
Alasannya mudah, sudah berdekad perlukan penamat.

Perit jerih, kembara diteruskan

Berbekalkan azimat, berbekalkan pengalaman
Langkah terus diatur
Aturnya di mana? Ke mana? Mana yang nak dituju?
Aku pun tak tahu
Apa yang pasti, perjalanan perlu diteruskan
Bukan untuk siapa-siapa, demi sebuah kehidupan
Anggap saja semua ini sebuah pergorbanan
juga ujian
untuk mendidik setiap insan yang punya bahagian.

Tersedar dari lamunan
Tanpa disedari, hampir habis secangkir kopi
Aromanya juga beransur hilang wangi

Helaian putih penuh contengan
Cerita cinta tidak kesampaian
Namun setiap kisah punya pengajaran
Pengajaran paling berhikmah?
Teruskan perjalanan kelak bahagia akan bertandang
Percayalah. Percayalah

Kembara diteruskan...lagi

p/s: Wahai sang Bunga, semoga dipermudahkan, kita mencuba, kita merancang. Kita juga punya Pencipta yang Maha Mengetahui akan semua ini. Usah sedih, teruskan melangkah.
Buat bidadari kayangan. Selamat dua puluh enam. Setiap cerita punya cerita setiap kisah punya pengajaran. Teruskan juga melangkah. Kelak satu hari kita pasti bersua. Amin

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...