Fellow Friends

02 November 2018

Peluang Kedua

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua. Semoga kalian dalam lindungan dan rahmat Allah SWT. Terlalu banyak perkara yang nak diluahkan dan disampaikan melalui lembaran ini. Sejujurnya ini lah tempat paling indah untuk aku sejak bertahun dulu. Mungkin tidak lagi? Beralih ke confession pula barangkali...


Peluang kedua. Suka untuk aku menceritakan dan meng-fiksyen-kan dua perkataan ini untuk entri pada kali ini. Kadang-kadang bertindak spontan, idea juga datang dengan bersahaja, mengingatkan hidup lama yang gemilang dulu kala. Saat jatuh bangun dalam kehidupan, kemudian jatuh lagi dan bangkit lagi. Ceritanya tetap dicoret di lembaran ini. Menjadi milestone dan juga rujukan dari masa ke masa. "Oh, aku dah sampai sini!", "Eh jangan risau aku dulu jauh lagi teruk daripada sekarang ini.", "Wow, tak sangka aku lepas segala yang getir sebelum ini." dan lain-lain lagi ungkapan kelegaan. Malam ini aku ditemani alunan Musafir Rindu disulam hirupan dan aroma kopi serta kesunyian & meletakkan seketika realiti di ruangan kanan dan mengambil imaginasi di ruangan sisi kiri. Semoga kita peroleh manfaat bersama.


Seorang anak meningkat remaja. Jiwa bergelora menunjukkan sisi rebellious di sini sana. Apa dipeduli tentang peluang kedua. Dia cuma hanya tahu once for all. Tak dibuat dikata tidak ikut trend, dibuat pula akan menjadi risiko. Begitulah jiwa membara seorang remaja. Sehingga takdir Tuhan melebihi jiwa gelora nya, dikirim ujian hilang insan tercinta di awal usia. Bagai dunia tanpa cahaya, hidupnya juga gelap penuh gelita. Hilang tempat bergantung, sarat rindu di tembok hati. Si Anak rebellious ini mula sedar jika Peluang Kedua diperoleh ingin sekali jadi yang terbaik untuk membuktikan isi hati, membuktikan rebel nya itu hanya nakkan perhatian. Hakikatnya, Peluang Kedua si Anak hanya khayalan minda. Dalam pasrah dan redha, terima jua ketentuan-Nya, diiring doa tanpa henti agar yang tersayang sentiasa dirahmati.


Bicara sang jejaka. Berdegar-degar dalam berkata. Gaya persis pemuja cinta namun sayangnya hanya cinta semata. Ada apa dengan peluang kedua soal si jejaka. Sedangkan dalam hidupnya tak perlu peluang kedua. Tak dapat cinta bisa petik saja, bersusun bidadari datang menyapa, tinggal dipilih mana yang suka. Buku belum bertemu ruasnya. Hadir sang puteri yang dulu pernah dihina dan diherdik, kini pemuja cinta melutut menagih simpati. Namun sayang sang puteri datang menyampaikan pesan. Hey inilah insan yang kau rendahkan, yang kau ludahkan dulu. Ternyata sang jejaka mengerti apa makna disebalik Peluang Kedua. Namun sudah tidak berguna. Persis Bidadari, datang menyapa dan terus berlalu pergi. Tinggallah si jejaka meratapi nasib diri. Terus tenggelam dalam dunianya sendiri.


Suami dan isteri. Hidup bahagia sejak mula mendirikan mahligai impian bersama. Menjalani hari-hari indah bersulam duka. Namun di sebalik duka yang dilalui, teguh sepasang merpati ini percaya akan peluang kedua mampu mengubah kepada yang bahagia. Hiduplah mereka berpegang prinsip naluri jiwa. Masa makin bertambah, usia juga makin dimamah, berkat Peluang Kedua menjadikan mereka hidup dengan indah, mampu mencipta seberapa banyak kenangan di antara mereka. Sampailah di satu ketika, salah seorang daripada mereka sudah tiada. Mereka mampu tersenyum dalam duka. Sebab apa? Mereka telah menggunakan Peluang Kedua mereka dengan sebaiknya. Walaupun sarat akan rindu, mereka redha di atas ketentuan. Dan dalam waktu yang sama mereka sedar, bahawa perginya separuh jiwa itu menandakan perginya juga Peluang Kedua... buat selama-lamanya.


Dimanakah kita? Pernahkah kita laluinya? Apa respon kita terhadap Peluang Kedua? Sama-sama renungkan, kerana tak semua Peluang Kedua itu indah dan membahagiakan, dan Peluang Kedua itu juga tak semestinya menyakitkan.

Sekian. Titisan terakhir kopi.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...