Assalamualaikum. Hi readers sekalian. Ya kamu! Terima kasih kerana sudi menjenguk ke sini. Dan kamu! Aku tujukan khas entri ini kepada insan yang bernama Bunga. Aku sendiri tidak menjangkakan akan ada kisah trilogi untuk Jay ini. Sebuah cerita yang sangat dekat dengan aku dan seboleh-bolehnya aku karang dengan lebih lunak berbanding dua kisah sebelum ini. Bagi yang terlepas sebelum ini boleh check entri yang bertajuk "Sebuah Tribute: Dedikasi untuk Nadia" dan "Kisah Jay - Prequel". Tanpa berlengah lagi aku teruskan memulakan bicara dilembaran suci ini.
Tujuan entri kali ini tidak lain dan tidak bukan adalah sebuah dedikasi kepada insan yang signifikan kepada Jay. Ya masih kisah Jay. Jay sang "pemuja cinta". Pada aku sendiri, Jay merupakan satu sosok yang tidak pernah kenal erti "serik" dalam bercinta. Jadi dengan itu wujudlah entri trilogi ini. Jay juga secara tulus ingin mendedikasikan kisah ini kepada Bunga. Semoga kalian terhibur atau terinspirasi melalui kisah "fiksyen" tragis Jay. Ayuh.
Setelah perginya Nadia tanpa sebarang jejak. Jay membawa hati yang disimpan begitu rapi di ruang paling dalam. Tidak terlintas untuk Jay berbicara soal cinta lagi buat masa itu. Hal ini disebabkan Jay terpaksa memberikan komitmen dan fokus kepada pengajian beliau yang sangat genting. Jay masih bertarung dengan masa dan perasaan. Masa - disebabkan kekangan permasalahan menyiapkan tesis bagai pembetulannya yang tiada hari esok. Direntap jiwa Jay sampai adakala Jay menangis sendiri mengenangkan betapa struggle nya kehidupan beliau. Melarat dan terus melarat. Perasaan - dalam kekalutan komitmen juga Jay terpaksa berjuang dengan perasaan sendiri, merawat luka dihati walaupun dalam keadaan tabah dan tenang, jiwanya meronta untuk meneruskan langkah. Apa yang menguatkan Jay? Kehidupan. Ya sebuah kehidupan perlu digagahkan juga melangkah.
Bunga? Siapa bunga ini? Bunga merupakan wanita terindah pada aku. Mungkin aku sependapat dengan Jay dan mungkin juga tidak. Bunga merupakan wanita yang sopan dan baik tutur kata. Namun Bunga bukanlah wanita yang biasa. Jay juga mempunyai pendapat yang sama. Jay dengan selamba menyatakan bahawa Bunga boleh didefinisikan sebagai wanita tabah & kecantikan melalui akal. Bunga merupakan rakan sekelas Jay dan masing-masing tidak mengenali antara satu sama lain. Masing-masing juga sedang berjuang dengan pertempuran masing-masing. Bunga merupakan sosok yang tenang tak siapa menduga apa yang sedang difikirkan. Terlalu banyak perkara yang bermain di minda beliau. Buat pengetahuan semua, Bunga juga merupakan mangsa buli sehingga memberi kesan melalui kewujudan karekter diri yang reserved dan avoidance. Terlalu banyak "medan perang" yang beliau telah, sedang dan perlu lalui sepanjang kehidupan. Begitu serba sedikit ringkas tentang Bunga.
Jay meneruskan perjalanan dengan hanya fokus kepada "Graduate on Time" tanpa memikirkan hal lain. Tak tertanggung untuk Jay memikirkan hal yang tidak sepatutnya. Ditakdirkan Tuhan Jay dan Bunga yang sama-sama satu fakulti hampir setahun tidak dipertemukan walaupun sekali sehinggalah mereka mengambil satu subjek yang sama tatkala Jay sudahpun dalam semester akhir. Perkenalan mereka pada awalnya tidaklah seindah drama cinta petang-petang atau cliche cinta menara gading. Pertembungan di pintu Bilik Kuliah 7 mencetuskan suasana tegang diantara kedua-dua mereka. Jay telah dilontarkan dengan kata-kata "Eh nak lalu ikut sini jugak? takde pintu lain?" masih berlegar-legar di ruang memori Jay. Jay yang tidak mahu melayan omelan wanita tersebut lantas menjawab "ya lah habis tu nak lalu mana lagi". Tidak disangka perbualan sesingkat itu mencetuskan galaksi mereka tersendiri.
Sehingga pada satu ketika Jay cuba untuk mendekati. Entah apa yang bermain difikirkan Jay. Beliau tertarik untuk mengenali Bunga dengan lebih dekat. Ternyata Tuhan memberikan kemudahan. Selang beberapa siri perbualan ringkas membawa mereka untuk duduk makan malam bersama. Satu karakter Jay yang aku boleh ulas. Amat susah untuk beliau merendahkan ego apabila melibatkan keluar bersama wanita. Seboleh-bolehnya Jay mempersiapkan diri melalui kewangan sebelum keluar bersama wanita. Malah telah lama Jay tidak berinteraksi secara berdua bersama wanita yang baru dikenali. Namun entah bagaimana ego Jay hilang begitu sahaja. Mudah ungkapan Jay meyebut "kita pergi makan dekat belakang ni jela ya kedai biasa sebab I ada modal RM5 je untuk makan malam ni". Gila! Runtuh sebuah ego dan Jay yakin beliau telah menjadi diri sendiri tanpa berselindung apa-apa. Sebelum pertemuan itu, Bunga juga ada meminta bantuan Jay untuk mengambil barang di rumah kenalan beliau. Sebelum itu juga Jay pernah meminta bantuan Bunga untuk memberikan link video YouTube yang menjadi tugasan kelas yang perlu dikupas pada kelas berikutnya. Begitulah perkenalan mereka.
Dalam tidak sedar, Bunga berasa selesa dengan pekenalan ini sehingga membawanya bercerita soal peribadi. Sebagai kawan, Jay cuba menjadi pendengar. Hal ini disebabkan Jay punya satu prinsip; Jika seseorang berani berceritakan hal peribadi beliau kepada kita nescaya mereka ini sudah meletakkan separuh kepercayaan kepada pendengar. Separuh lagi akan meningkat dari masa ke masa". Begitulah perkenalan yang mencetuskan suasana positif bagi kedua-dua makhluk ini. Sehinggalah satu titik persamaan ditemui. Jay dan Bunga dua insan yang gagal dalam cinta dan menjadi pemuja cinta sepi. Titik persamaan lagi tatkala Jay sedang berjuang dengan perasaan sendiri suatu masa dulu, garis masa yang sama bagi Bunga melawan perasaan sendiri dikhianati cinta. Cukup tragis.
Jay tidak pernah meletakkan apa-apa perasaan terhadap Bunga. Alasannya cukup mudah, Bunga masih berjuang untuk move on dan masih berbolak balik hatinya. Bagi Jay, dia tidak sepatutnya menjadi batu loncatan atau insan yang "dipaksa" untuk memenuhi ruangan itu. Jay juga tidak berminat menanggung lagi derita sekiranya dijadikan tempat persinggahan. Cukuplah. Namun apa yang lebih mementingkan, Jay pernah berada dalam situasi sama suatu masa dulu. Jay memilih untuk meraikan dan memberikan positive vibes untuk Bunga berusaha berbaik dengan bekas kekasihnya demi meraikan cinta jangka panjang tersebut yang mana tidak dapat dikecapi Jay sewaktu bersama Faz dahulu. Perkenalan seterusnya dipermudahkan Tuhan. Jay diberikan peluang mengenali orang-orang tersayang Bunga dan disitu wujud kemesraan yang masih dinafikan oleh Jay sendiri. Jay juga berasa senang dengan tingkahlaku Bunga.
Satu tarikh keramat bersesuaian dengan ulangtahun ke dua enam Jay, Jay dihadiahkan dengan sebuah "kata-kata" yang amat serius bunyinya. Declaration. Allahu. Jay pada ketika itu masih berpijak pada realiti dan masih berhati-hati dalam mengorak langkah memilih jalan bertenang iaitu diberikan masa untuk kedua-duanya untuk berfikir dengan rasional. Menggunakan tempoh sehari, Bunga dengan rasional keputusan yang ingin diambil ini adalah mengambil kira pandangan dan penerimaan keluarga. Jay juga rasional tentang betapa "effortless" sehingga ke tahap ini. Kedua-dua mengambil keputusan yang sama. Jay juga mengingatkan bahawa ujian bakal menyusul selepas ini, be prepared. Seolah-olah Jay mengambil langkah berhati-hati dengan setiap apa yang berlaku pada masa akan datang. Maka bermulalah siri bahagia buat Jay dan Bunga sehingga pada kemuncak bahagia Jay memperkenalkan Bunga kepada keluarganya buat kali pertama pada hari paling bahagia Jay - Hari Jubah. Jay juga beranggapan bahawa inilah hadiah paling terindah yang Tuhan tangguhkan. Melihat positive vibes pada hari berkenaan membuatkan Jay terus bersemangat untuk meneruskan hidup pada hari-hari mendatang. Bahagia berterusan sepanjang kehidupan mereka, masing-masing berjuang dalam dunia sendiri. Jay berjuang untuk kelangsungan masa depan, Bunga pula berjuang untuk terakhir kali sebelum menjejak Hari Jubah.
Tidak siapa sangka dan tidak siapa duga. Ramadan tahun yang lalu dugaan nya dengan khabar duka, Selang setahun menjengah Syawal tahun ini Jay diduga khabar duka lagi. Adi bekas kekasih Bunga mengambil langkah drastik membawa rombongan keluarga menemui keluarga Bunga. Perasaan bercampur baur bagi Jay dan Bunga. Sedang saat meniti hari-hari bahagia mereka diduga pada hari umat Islam menyambut hari bahagia. Bunga yang tidak berdaya tidak dapat berbuat apa-apa disebabkan keluarga memegang kunci pilihan. Dalam keterpaksaan Jay perlu menerima takdir Tuhan. Keterpaksaan juga buat Bunga yang sudah melangkah sejauh ini ditolak semula ke titik awal. Adi, punya alasan tersendiri terhadap tindakan yang diambil.
Saat sukar untuk kesemuanya. Akhirnya redha dan restu keluarga merupakan perkara paling penting dalam kehidupan seseorang insan. Setiap insan berkorban untuk kebahagiaan orang lain. Jay juga dalam kekalutan dan struggle demi masa depan dipaksa untuk ditempuh ujian ini. Bunga yang mula mendapat bahagia dipaksa untuk membahagiakan melewati bahagianya sendiri. Melalui perbincangan kritikal. Jay tetap memberikan semangat untuk Bunga cuba untuk redha dan positif dengan setiap apa yang jadi. Teruskan langkah, jangan berhenti. Setiap orang pasti peroleh hikmah disebalik apa yang terjadi. Walaupun hakikat pada masa itu Jay juga sedang memujuk hati sendiri dan berjuang dengan perasaan sedih.
Dalam satu detik, Jay juga mencari persoalan kepada jawapan adakah beliau ini adalah ujian untuk Bunga dan Adi? Satu detik lagi timbul persoalan adakah tindakan Adi ini wajar? Selang detik lagi mempersoalkan adakah Bunga sudah tiada daya?
Semua persolan tersebut dijawab dengan ringkas dan mudah. Allah Maha Mengetahui. Dia adalah sebaik-baik perancang. Keterpaksaan itu memeritkan. Redha itu membuatkan hati insan menerima takdir dan ketentuan dengan hati yang sangat terbuka.
Aku mendoakan Jay untuk terus tabah dengan pancaroba kehidupan, teruslah sematkan di dalam hati bahawa Tuhan ingin kurniakan perkara yang terindah di kemudian hari yang setimpal dengan ujian yang ditempuhi. Buat Bunga, aku doakan semoga terus berbahagia dan carilah redha tersebut dalam apa jua keadaan. Buat Adi semoga tindakan yang dibuat mematangkan beliau, aku pasti Jay besar hatinya untuk meraikan kalian. Cuma ingin sekali aku petik kata-kata Ustaz Adam dalam Munafik 2; "Allah izinkan sesuatu perkara terjadi ada yang Dia redha ada yang tak". Semoga semua tindakan kita diredhai-Nya. Aku juga mengharapkan "kicauan" yang sedia ada dan sangat "mengambil berat" terhadap kisah Jay dan Bunga ini walaupun dalam skala yang kecil tidak meletakkan entepretasi yang tidak sepatutnya. Adalah lebih baik untuk kalian bertenang dan terus bertenang ya. Hidup ini cukup singkat untuk saling membenci.
Jay juga mendoakan kebahagiaan Bunga, mungkin ada betulnya hikmah bahawa pertemuaan di antara mereka ini adalah ujian untuk menjadikan Adi insan yang lebih menghargai cintanya manakala untuk Bunga, ujian di antara hati dan redha, seterusnya ujian untuk Jay dalam memberikan yang terbaik tanpa meletakkan harapan yang tinggi kerna setiap rencana manusia, Allah masih punya rencana-Nya. Sesungguhnya Dia lah sebaik-baik rencananya. Allah Maha Mengetahui.
Jay membawa diri dan terus melangkah tanpa meletakkan apa-apa pengharapan dikemudian hari. Koyak? Jay juga manusia biasa yang tak terlepas daripada kesedihan. Asbab doa "Ya Allah jika tidak ditakdirkan antara aku dan dia berjodohan, tenangkan kami untuk terima takdirMu", membuatkan Jay diberikan kekuatan untuk terus tenang dan redha. Sebagaimana hebat Zainuddin menerima Hayati dan suaminya, begitulah yang didamba oleh Jay sendiri. InsyaAllah.
Wanita terindah? Ya Bunga merupakan wanita terindah yang pernah hadir dalam hidup Jay. Setiap apa yang dilakukan oleh Jay mahupun Bunga sepanjang perkenalan mereka adalah "effortless". Hal ini disebabkan sudah terlalu banyak mereka tempuhi dalam fasa cinta. Ini juga mengingatkan Jay tentang tiga kategori cinta. Yang pertama masing-masing mencari cinta tersebut, kedua salah seorang daripada mereka berusaha memberikan cinta manakala yang ketiga, kedua-dua insan tidak mengejar cinta namun secara tidak sedar telah saling menyemai perasaan tersebut. Kalian yang bijaksana mampu menilai cinta yang mana telah terjadi kepada kisah Jay dan Bunga.
Kisah cinta epik ini juga membuatkan Bunga juga berada dalam liga yang berlainan. Di saat kebanyakan insan akan mencemuh dan mengherdik terhadap apa yang terjadi namun tidak pada Bunga. Beliau sedaya upaya untuk tidak melukakan hati Jay walaupun sampai ke saat akhirnya. Alasannya cukup mudah, beliau telah dikhabarkan tentang betapa tersungkurnya Jay suatu masa dahulu dan beliau tidak mahu mengulangi perkara yang sama walaupun dalam keadaan terpaksa perpisahan ini terjadi. Mungkin sesetengah pihak berpendapat Jay masih dalam penafian. Terpulang. Akal dan fikiran manusia tidak mampu dikawal. Masih ada manusia yang hanya ingin mendengar apa yang hendak didengar. Ada manusia yang tidak mahu melihat sesuatu yang terjadi dari sudut pandang lain, hanya melihat sudut pandang dia sahaja. Dan ada juga manusia akan "menghargai" cintanya setelah kehilangannya. Semua adalah sikap manusia yang subjektif, tidak dapat dikawal. Jadi terpulang kepada kalian untuk mentafsirkan kisah ini.
Jay juga menjadikan kisah ini sebagai kisah teragung sepanjang hidup beliau. Terima kasih diucapkan kepada Bunga yang selama ini meninggalkan kenangan yang indah. Ada momen-momen yang dianggap bodoh seperti makan aiskrim di bahu jalan, small talks dan sebagainya mampu memberikan kenangan terindah untuk Jay. Di kesempatan ini juga Jay dengan rendah diri memohon kemaafan di atas segala perbuatan/khilaf yang mungkin tidak disenangi Bunga sewaktu perkenalan dahulu. Terus damai dan tenang dalam melangkah mencari bahagia.
Maafkan aku juga kerana entri kali ini terlalu panjang, semoga yang membaca tidak berasa bosan. Seandainya cik Bunga membaca entri ini, ketahuilah di saat dan ketika ini Jay telah redha dengan apa yang terjadi dan mengharapkan cik Bunga sentiasa mendoakan Jay, begitu juga Jay sebaliknya sentiasa mendoakan kebahagiaan buat kalian. Hidup ini singkat, itu kata yang memecah dada, untuk apa wujud kebencian andai masih punya cara lain untuk bahagia?
Kepada Adi, aku secara peribadi tidak mengagungkan "Best Man Win", kerna aku yakin Jay telah melakukan yang terbaik sepanjang perkenalan beliau dengan Bunga. Cukup pesanku janganlah disakiti hati insan yang telah begitu besar pengorbanannya. Berusaha dan terus berusaha membuat Bunga bahagia, kerna disebalik bahagianya Bunga pasti Jay yang dikejauhan senyum tanda lega.
Akhir kalam, perkataan move on seringkali disalah tafsir. Ada yang menganggap dengan move on perlu dilupakan setiap momen indah, dilupuskan semua kebaikan dan keindahan lampau. Tidak sama sekali kawan-kawan. Kisah kali ini juga mengajar aku bahawa move on itu lebih kepada memaafkan berbanding melupakan. Dengan move on ini juga kau dengan sepenuh hati membiarkan Tuhan mengatur pintu yang lain untuk kau pada masa akan datang. Setiap perkara datang tepat pada masanya. InsyaAllah.
Jay meneruskan kembaranya...
Assalamualaikum. :')
Tamat. -setakat ini-
10 September 2018 | Isnin
0 comments:
Post a Comment